Sihir

Tuesday, March 16, 2010

Sepatutnya AP Bebas Meletak Jawatan, Bertanding Semula

DARI sudut moral dan integriti, Wakil Rakyat atau Ahli Parlimen (AP) yang sudah meninggalkan parti atas sebab-sebab tertentu sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula sebagai calon bebas atau calon mewakili parti baru yang dipilihnya. Ini sesuai dengan prinsip dan konsep sebenar kempen pilihan raya di mana rakyat di kawasan itu sudah memberi kemenangan berdasarkan parti yang diwakili mereka dalam PRU 12.

Jika Wakil Rakyat bebas itu bersedia melepaskan jawatan ia dianggap cara yang bermoral dan patut dihormati kerana rakyat di kawasan itu boleh menentukan semula samada AP itu masih diperlukan atau sebaliknya berdasarkan pertimbangan mereka tentang integriti calon tersebut.

Jika Wakil Rakyat itu tewas dalam pilihan raya kecil kelak, ia harus diterima sebagai pengesahan bahawa mandat yang diberikan dulu kepada mereka sudah ditarik balik dan kepercayaan rakyat kepada mereka terhakis. Ini membuktikan pengundi di kawasan itu memilih mereka dalam PRU 12 lalu berdasarkan parti yang diwakili dan bukan sifat peribadinya.

Demikian juga sebaliknya, jika Wakil Rakyat itu masih menang dan dipilih sebagai calon bebas atau menerusi parti baru yang disertainya, ia harus diterima sebagai kehendak rakyat di kawasan itu yang sudah memilihnya sebagai wakil mereka atas kebolehan atau kewibawaan peribadinya yang disenangi dan bukan kerana parti yang disertainya dulu.

Jika itu terjadi, tidak ada pihak boleh mempertikai kemenangannya atas sebarang alasan kerana rakyat dan pengundi di kawasan itu sudah memilih beliau sebagai wakil rakyat berdasarkan perkiraan dan perhitungan teliti mereka. Walaupun nanti ada pihak yang mengadu kemenangan itu akibat sesuatu perkara yang tidak diingini, ianya tidak boleh dipersoal lagi kerana pengundi sudah membuat keputusan muktamad.

Demikianlah, dalam perkembangan terbaru, beberapa AP yang sudah meninggalkan parti PAS dan PKR seharusnya menyerahkan semula pengundi di kawasan mereka membuat keputusan muktamad samada masih memerlukan mereka atau sebaliknya. Pilihan raya kecil patut diadakan dengan perletakan jawatan semua Wakil Rakyat itu dan membiarkan rakyat di kawasannya mengundi semula dengan semangat menyerah amanah rakyat menentukan untung nasib mereka.

Dengan cara itu dapatlah ditentukan secara jelas samada rakyat masih memerlukan perkhidmatan mereka sebagai wakil mereka atau menendang mereka keluar.

Jika semua Wakil Rakyat bebas itu mempunyai keberanian, mereka harus membuktikan bahawa kemenangan mereka dulu adalah atas kehendak rakyat dan bukan parti yang diwakillinya. Jika YB Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin, Zahrain Mohamad Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Bee Heng bersikap gentlemen seharusnya mereka menyerahkan semula kuasa rakyat pengundi di kawasannya menentukan semula nasib mereka sebagai calon bebas atau calon mewakilli parti yang disertainya.

Jika mereka menang sebagai calon bebas atau melalui parti barunya, bermakna kemenangan itu adalah bukti pengundi menyukai mereka sebagai individu yang berwibawa dan bukan parti yang diwakilinya dulu.

Tidak ada faedahnya hentam menghentam, hina menghina dan berdolak dalik mempertahan pendirian masing-masing dalam media yang sebenarnya tidak menyelesaikan isu. Mereka mendakwa keluar parti kerana tidak sehaluan dengan perjuangan parti yang didakwa sudah menyeleweng dan tidak memihak aspirasi rakyat terbanyak. Oleh itu jalan penyelesaian terbaik ialah dengan menyerah semula kuasa undi rakyat membuat keputusan adakah mereka masih boleh bertahan dan diterima sebagai wakil rakyat atau disingkirkan.

Isu itu harus dinoktahkan segera supaya rakyat terlibat boleh melupakan episod konterversi itu dan melihat ke hadapan dengan perlantikan wakil baru pilihan mereka. Isu itu perlu dihentikan secara terhormat dengan tindakan berani semua AP bebas itu melepaskan jawatan serentak dan bertanding semula sebagai memenuhi semula amanah rakyat di kawasan undi mereka.

IZMAS
15hb Mac, 2010

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=3229

No comments: