Sihir

Sunday, August 30, 2009

Arak kepala lembu bukan ajaran Agama Islam - Dr. Mohamad Nur Manuty



Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya.


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr.Muhammad Nur Manuty berkata tindakan kumpulan tersebut adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam.

"Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah,”ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri,”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan, justeru, ia adalah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang.
Namun, katanya, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. ”Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.

“Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).”jelas Dr. Muhammad Nur.
Beliau berkata, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. ”Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?,”soalnya
Katanya beliau syak ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Oleh itu katanya, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada dengan kejadian seumpama kejadian yang berlaku.
Jumaat lepas, 28 Ogos, kira-kira 50 penduduk yang kononnya membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam, telah berarak membawa kepala lembu dari Masjid Shah Alam hingga ke bangunan pejabat kerajaan Selangor.

Friday, August 14, 2009

Ketam punya cerita



Tak lama dulu ada seorang melayu yang ingin makan lauk ketam. Pada pagi itu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik cina yang menjual ketam.

Melayu: Apek! Itu ketam ada jual ka?

Cina: Ada…ada…lu mau ketam cina ka ketam melayu?

Melayu: Aik! Ketam pun ada melayu dengan cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam melayu, mana ketam cina?

Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup…ketam cina…….sana dalam bekas tak ada tutup…ketam melayu la….

Melayu: Apa pasal ketam cina apek kasi tutup…ketam melayu apek tak kasi tutup?

Cina: Itu ketam cina kalau satu ekor keluar…yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.

Melayu: Ketam melayu tak itu macam ka?
Cina: Ketam melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi…jangan kasi keluar. Dia mau dia sekor saja keluar…yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.

Pengajaran: Begitulah cerita ketam melayu dengan ketam cina. Hakikatnya, jika orang cina berniaga….cina lain tak kacau…dia tengok aje dan belajar macam mana boleh berjaya. Cina dah berjaya tu pulak, akan ajar cina lain agar berjaya jugak. Kalau orang melayu, bila satu melayu nak berjaya, melayu lain akan guna apa saja supaya melayu tu jatuh balik. Macam ketam melayu, bila sekor ketam dah berjaya nak naik, ketam lain tarik kaki dia, at last sorang pun tak dapat naik . Lepas tu mulalah bergaduh sesama sendiri. Itulah hakikat sebenar sekarang ini. sebab tu melayu tak maju..

Monday, August 10, 2009

Saturday, August 8, 2009

Undian: ISA zalim, tuntut mansuhkan

Majoriti pengunjung laman web berita Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa akta ISA dimansuhkan kerana ia disifatkan sebagai kejam.

Daripada 522 responden, setakat ini, 481 atau 92 peratus mahu Akta Kementerian Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, sementara hanya 36 responden bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menyemak akta kontroversi itu.

Undian yang bermula hampir jam 9 malam tadi memuatkan lima soalan, masing-masing dengan tiga pilihan jawapan, bermula dengan "pada pandangan anda, ISA adalah...".

Semakan Malaysiakini mendapati 597 responden atau 88 peratus menganggapnya "kejam", manakala 51 responden atau 9 peratus menyifatkan akta itu sebagai "undang-undang pencegahan" daripada kegiatan mengancam keselamatan negara.

Majoriti responden, kira-kira 89 peratus daripada 621 responden, yang menentang akta itu menyatakan mereka "faham dan tahu sepenuhnya mengenai ISA", 51 responden menjawab "saya keliru" dan selebihnya memilih "saya tidak tahu dan tidak faham." Mereka, 599 responden atau 89 peratus, juga mengetahui isu ISA melalui bahan bacaan dan hanya 51 responden "tangkap muat" berhubung isu tersebut, sementara 22 lagi melalui "cakap-cakap" pihak lain.

Ditanya soalan Amerika Syarikat dan Britain mempunyai akta menentang keganasan masing-masing yang "dirujuk daripada pelaksanaan ISA di Malaysia", 324 responden atau 48 peratus menyatakan mereka mengetahui perkara itu.

Manakala 328 responden lagi atau 49 peratus menjawab soalan itu "tidak memberi apa-apa makna kepada mereka", selebihnya memilih jawapan "saya tidak tahu."

Berdasarkan undian topik-topik yang lepas, tempoh tinjauan di potal berita KDN itu dijalankan selama seminggu.




Akta ISA sering menjadi topik perbahasan hangat antara pemimpin kerajaan dengan pembangkang dan aktivis hak asasi.Demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama Pakatan Rakyat, Sabtu lalu, mencipta rekod perhimpunan terbesar dalam sejarah negara menentang akta kontroversi itu.

Sumber: malaysiakini.com

Friday, August 7, 2009

Kesenian mengikut perspektif Islam


Islam adalah agama yang nyata (waq'ie) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi yang menepati cita rasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia.
Dalam diri manusia tertanamnya perasaan suka pada keindahan. Keindahan itu adalah seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata atau bahasa.

Al-farabi : menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan.

al-Ghazali : seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan jiwa manusia yang sesuai dengan fitrah.

Seni ada 2 tujuan :

i. Seni untuk seni : bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat.
ii. Seni untuk masyarakat : Seni dicipta utnu sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Seni boleh dibahagikan kepada 4 bahagian :

i. Seni melalui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan sebagainya.
ii. Seni yg diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.
iii. Seni yg diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.
iv. Seni yg dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yg berbentuk puisi dan prosa.

Konsep Seni menurut perspektif Islam

* Seni islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan islam.
* Perbezaan seni Islam dan bukan Islam sari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni islam.
* Tujuan seni Islam adalah kerana Allah.
* Dalam pembangunan seni kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehiudpan manusia.
* Seni mestilah bersifat Amar makruf dan nahi mungkar.
* Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan keredhaan Allah dan ketakwaan)
* Seni mestilah menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.
* Hukum asal kesenian dan hiburan adalah HARUS
* menjadi haram kerana wujudnya perkara yang bertentangan dengan syara'

Prinsip-Prinsip Kesenian

1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat.
- Alam sekitar gelerinya dan manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredaan NYA.
2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yg menyentuh aspek-aspek estatika, kemanusiaan, moral dan lain2 lagi.
3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kpd keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri.
- menurut Islam kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap.
4. Kesenian Islam terpancar dr wahyu Allah, sama seperti undang2 dan syariat.
- Harus beradda di bawah linkungan dan peraturan wahyu.
- Ini membezakan kesenian Islam dan kesenian bukan Islam.
5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan Allah, alam sekitar dan sesama manusia serta makhluk lain.

Terdapat 5 hukum dalam seni :-

i. WAJIB : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yg mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk masjid serta seni taman bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah tersebut.

ii. SUNAT : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan uamt islam seperti nasyid, qasidah dan selawat kpd rasulallah dalam sambutan maulidur rasul dan taranum (seni lagu) al-Quran.

iii. MAKRUH : Jika kesenian itu membawa unsur-unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan manusia.

iv.HARAM : JIka kesenian itu berbentuk hiburan yang :

1. Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan2 yang berupa tanggungjwab asas terhadap Allah khasnya spt ibadat fardu ain dan kifayah.
2. Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dpat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil ( palsu).
3. Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai maksiat lain.
4. Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram spt pergaulan bebas dlm bentuk bersuka-suka yang melampau.
5. Objek atau arca dl bentuk menyerupai patung sama ada dibut dr kayu, batu dll.
6. Disertai dgn alat muzik yang diharamkan oleh Islam spt alat tiupan, bertali, tabuhan yg bertutup bahagian atas serta alat muzik tekanan jari. Setengah ulama mengatakan harus digunakan dlm pendidikan dan tidak menarik kpd konsep al-malahi(hiburanyg keterlaluan). Alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah.
7. Seni yang merosakkan akhlak dan memudharatkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian.
8. Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat untuk menunjuk-nunjuk dan kesombongan.

v. HARUS : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.

Bidang-bidang kesenian

Tulisan (Khat)

- khat, segala tulisan yang cantik untuk hiasan
- menjadi haram sekiranya digunakan untuk fitnah, lucah, syirik dan sebagainya

* Kepentingan seni khat :

i. Ia mempunyai kaitan dgn peningkatan tahap tamadun itu sendiri. sebab itu ia merupakan hasil aktiviti masyarakat maju dan bertamadun.
ii. salah satu maksud dalam saranan Nabi Muhammad s.a.w agar umat Islam membaca dan menulis ayat2 al-quran dgn baik. Dan dengan cara ini difikirkan untuk memudahkan lagi mereka mempelajari dan menghafalnya.
iii. Keindahan tulisan merupakan kelembutan jari dan kehalusan pemikiran serta citarasa penulisnya.
iv. Rasulallah menggalakkan penulisan khat. Sabda Rasulallah bermaksud " Hendaklah kamu mengindahkan seni khat kerana ianya antara kunci sumber rezeki".
v. Saidina Ali (k.w) pernah berkata : " Serikan anak-anakmu dengan ilmu seni tulis kerana tulisan merupakan perkara paling mustahak dan menyeronokkan".

* Jenis-jenis khat :-
i. Khat Khufi : berasal dr Kufah.
ii. Khat Riq'ah : dapat ditulis dgn cepat

Penulisan


* Dikaitkan dengan seni kesusasteraan.
* Mendapat sambutan hangat umat islam kerana seni ini bersumberkan ayat al-quran dan al-sunnah.
* al-Quran dilihat dr segi keindahan bahasa dan isi kandungannya.
* al-Quran berjaya melumpuhkan keangkuhan dan kejaguhan sasterawan arab dr segi keindahan bahasa
* Ramai arab Quraish memeluk Islam kerana mendengar al-Quran seperti Umar al-Khattab, al-Walid al-Mughirah, Rabiah dan Jubair bin Mat'am.
* Selain al-Quran kesusteraan islam meliputi Syair, Ruba'i, Burdah dan prosa dll.

Lukisan dan arca

-Dikenali juga sebagai seni halus.
- Seni lukis bermula pada zaman Khalifah Muawiyah di Damsyik dan ia biasanya tertera pada helaian safhah al-Quran ygn dihisai dgn corak lukisan bunga dan gambar berbentuk Arabesque dgn pilihan warna emas.
- Seni lukis islam biasanya terhad kepada lukisan keindahan alam dan tidak termasuk benda-benda bernyawa yg boleh menjadi pujaan seperti haiwan, dewa atau patung.
- harus melukis dan membentuk sesuatu yang tidak bernyawa
- haram membentuk patung dan melukis makhluk yang bernyawa
- dibolehkan melukis makhluk yang bernyawa kerana keperluan yang diiktiraf seperti
pendidikan.
- gambar foto tidak termasuk dalam lukisan tetapi mestilah memenuhi syarat :
1) Menutup aurat sekiranya untuk umum
2) Tiada pergaulan bebas, percampuran dengan bukan mahram

Suara, muzik dan lakonan

- asal suara wanita tidak aurat, menjadi aurat apabila diubah menjadi lunak dan menimbulkan fitnah
- seni suara asalnya halal dan boleh menjadi haram dengan sebab:
1) Penyanyi: tidak menutup aurat, percampuran lelaki dan perempuan
2) Lirik : berbentuk syirik, lucah, menghina Islam
3) Alat muzik: yang sering digunakan oleh orang-orang kafir

- hukum muzik:
1) Pasti harus: nasyid, qasidah, lagu kanak-kanak, lagu menaikan semangat jihad dan alat
yang jelas harus ialah kompang.
2) Pasti haram: muzik-muzik semasa yang ditiru daripada barat dan tidak selamat daripada syarat-syarat atau sebab-
sebab di atas.
3) Mukhtalafun fihi:, iaitu muzik yang berada ditengah-tengah di antara kedua-duanya, di sini ada tiga pandangan ulamak:
i. Pasti haram
ii. Pasti harus
iii. Tafsil, sekiranya lebih mirip kepada yang pertama hukumnya harus dan sekiranya lebih mirip kepada yang kedua hukumnya haram.
- lakonan harus asalkan tidak ada perkara yang bercanggah dengan syara' seperti:
1) Dedah aurat
2) Percampuran di antara lelaki dan perempuan
3) Berlakon sembah patung, minum arak, berpelukan

Binaan


- harus asalkan tiada unsur syirik, pemujaan, syiar orang-orang kafir dan sebagainya.
- Aspek seni bina islam terpenting ialah masjid.
- Konsep penting dalam seni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadu', aman dan damai serta merendahkan hati kepada keagungan Allah.
- Kepentingan seni bina masjid di bandar silam islam digambarkan dengan bilangan yang agak banyak seperti :
~di Damsyik pada abad 12 M terdapat 241 buah masjid.
~Di Kaherah pada 15M terdapat 88 buah masjid jamed dan 19 buah masjid kecil.
- Selain masjid seni bina islam mengakumi bangaunan2 kediaman, jambatan, saluran air, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya.
- Keindahan seni bina islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid spt istana2, Tajmahal, kota-kota di Baghdad.
- Seni bina di malaysia yg ada unsur seni bina islam spt Bangunan sultan abdul samad, bangunan keretapi tanah melayu, Daya bumi, pusat pentadbiran putrajaya.

Matlamat kesenian

- Seni dalam islam tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan semata.
- Seni islam dibentuk untuk melahirkan seseornag yang benar-benar baik dan beradab.
- Motif seni islam mesti bermatlamatkan :
~makruf ( kebaikan)
~halal
~berakhlak.
- menanam rasa khusyuk kepada Allah disamping memberi ketenangan jiwa manusia sebgai makhluk Allah yg diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada keindahan.
-Kesenian Islam terpancar dari tauhid yang merupakan yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan allah swt.
- Seni perpaksikan tauhid dapat menanam sikap bertaqwa dan beriman.
- Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan emosi.
- seni dalam islam merupakan keperluan tahsiniat
- mengisi kekosongan masa, masa yang kosong kalau tidak diisi dengan perkara kebaikan atau paling kurang perkara harus
atau makruh, masa itu akan diisi dengan perkara kejahatan.
- salah satu cara berdakwah

Peranan seni dan masyarakat
- melengkapkan tiga proses kehidupan: kerja, ibadat dan rehat
- boleh menghimpunkan masyarakat

Tuesday, August 4, 2009

Puasa dari perspektif sains


Oleh : Dr. Mohd Zamrin Dimon
Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru HUKM
Presiden Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)


PUASA adalah menahan diri dari makan dan minum dari terbit fajar ke maghrib. Dari aspek fisiologi dan kesihatan, puasa bermula sekitar 12 hingga 24 jam dari ketika kita tidak makan dan minum.

Puasa belum bermula dari segi kimianya, sehinggalah karbohidrat dalam badan kita digunakan sebagai sumber tenaga. Puasa boleh berterusan sehingga semua karbohidrat dan lemak dalam badan kita dapat digunakan sebagai sumber tenaga.

Apabila badan kehabisan karbohidrat dan lemak, protein pula akan digunakan sebagai sumber tenaga. Pada ketika ini, ia tidak disebut sebagai puasa tetapi kebuluran.

Berdasarkan kepada fakta ini, seseorang manusia yang sihat akan dapat bertahan untuk hidup tanpa makanan selama hampir 40 hari, dengan syarat dia mendapat sumber air yang berterusan, dan tidak terdedah kepada anasir-anasir toksik dan pencemaran seperti penyakit berjangkit.

Manfaat puasa

Makanan adalah sumber tenaga untuk membolehkan tubuh menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya. Tanpa kita sedari setiap aktiviti dalam tubuh kita perlukan tenaga. Jantung yang berdenyut tanpa henti, usus yang bergerak untuk menghadamkan makanan, pernafasan, berfikir, berjalan dan sebagainya semuanya memerlukan tenaga. Sumbernya adalah makanan.

Sekiranya tiada makanan yang dibekalkan, badan akan menggunakan simpanan tenaga dalam badan kita, bermula dari karbohidrat, lemak dan kemudian protein. Semasa puasa, badan akan menggunakan sumber tenaga dari dalam badan kita sendiri melalui proses yang dinamakan autolisis yang memecahkan simpanan karbohidrat dan lemak dalam badan untuk menjadi sumber tenaga.

Proses ini berlaku dalam hati di mana lemak akan ditukar kepada satu bahan kimia yang dinamakan keton tubuh, yang kemudiannya disebarkan ke seluruh badan melalui aliran darah. Lebih lama badan tidak mendapat makanan, lebih banyak proses ini berlaku dan lebih banyak keton yang dihasilkan.

Beberapa manfaat puasa:

Detoksifikasi

Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit. Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.

Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti. Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.

Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?

Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.

Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini. Contohnya DDT, yang dinyahkan melalui air kencing, peluh dan najis.

Proses penyembuhan

Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.

Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.

Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik. Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun.

Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.

Proses rejuvenasi/mempermuda

Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik. Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.

Meningkatkan ketajaman mental

Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman.

Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa. Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.

Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.

Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok. Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.

Sumber : http://haluan.org.my

Sunday, August 2, 2009

Kebahagiaan


Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang.

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

Metafora air limau dan luka di tangan

Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

Inilah erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.