Sihir

Thursday, September 4, 2008

Cerita pasal bonus

Pembentangan Bajet 2009 begitu menarik rasa lega dan gembira para kakitangan sektor awam. YAB Perdana Menteri mengumumkan kakitangan awam akan menikmati bonus sebulan gaji atau minima RM1,000 di mana pembayarannya akan dibuat dua kali iaitu pada bulan September dan Disember 2008.
Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan di saat-saat yang amat memerlukan ini. Pemberian bonus berkenaan akan dapat membantu menampung perbelanjaan sambutan hari raya aidilfitri yang dijangka pada 1 Oktober dan juga dapat membantu para ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak pada sesi buka sekolah tahun hadapan.
Namun begitu di sebalik berita gembira ini, diharap para peniaga tidak menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya. Janganlah dijadikan alasan agihan bonus kepada kakitangan kerajaan ini sebagai penyebab untuk menaikkan harga barang. Apatah lagi sebelum ini peniaga-peniaga telah begitu ghairah meletakkan harga barang di paras yang begitu tinggi ekoran daripada kenaikan harga minyak global. Janganlah menangguk di air keruh sekali lagi.
Kini kerajaan telah mengurangkan harga minyak petrol dan diesel pasaran tempatan, tetapi harga barang tidak pula diturunkan. Mengapa para peniaga tidak pula menurunkan harga barang? Semuanya kerana ingin mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
Kenaikan harga barang yang melampau perlu dielakkan kerana ia hanya akan membebankan pengguna. Beban tersebut bukan hanya ditanggung oleh pengguna yang terdiri daripada kakitangan awam yang menerima bonus ini, bahkan kepada semua rakyat Malaysia. Semua orang akan merasa tempiasnya.
Peniaga perlu ingat dan sedar bahawa rakyat Malaysia bekerja di pelbagai sektor dan ada yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Kenaikan harga barang akan mempengaruhi sosio ekonomi kesemua golongan.
Hanya kerajaan yang sentiasa prihatin tentang kebajikan rakyatnya yang mendapat tempat di hati rakyat.

Wednesday, September 3, 2008