Sihir

Sunday, January 17, 2010

Apakah itu pengajaran?


Melalui kajian Wan Zah Wan Ali (2000) terhadap sekumpulan guru pelatih di kampus Universiti Putera Malaysia, pengajaran didapati mempunyai banyak erti dan ia boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu pengajaran sebagai:
- menyampaikan maklumat
- memindahkan maklumat
- mendorong pembelajaran, dan
- membina manusia yang lebih baik.

Didapati 32% pelajar dalam kajian ini mentafsirkan pengajaran dalam kategori menyampaikan dan memindahkan maklumat. Ertinya, pengajaran tertumpu kepada guru. Guru adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan dan memindahkan segala maklumat ke dalam minda. Maka, pelajar merupakan unsur yang pasif, sekadar menerima sahaja apa yang diberikan.

Didapati 68% pelajar tergolong dalam kategori terakhir. Jelas sekali di sini, pengajaran difahami sebagai proses dua hala, perkongsian antara pelajar dan guru bagi memahami segala macam pengetahuan yang diperlukan bagi pembinaan manusia sebenar. Konsep pengajaran serupa inilah yang harus menjadi pegangan setiap guru.

Dakwaan ini adalah berasaskan kepada tafsiran kebanyakan penyelidik di bidang ini (Ramsden, 1993: Trigwel, Prosser & Lyons, 1997). Mereka memahami pengajaran sebagai:

'Proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar. Ia melibatkan usaha mencari dan mengenal pasti salah tafsiran pelajar terhadap sesuatu yang diajarkan, mengambil tindakan untuk memastikan perubahan kefahaman dan mencipta konteks pembelajaran yang menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran yang diikuti. '

Teliti tafsiran ini dengan lebih terperinci.

Pertama, pengajaran adalah proses yang memerlukan guru dan pelajar bekerja bersama, bukan satu pihak sahaja.

Kedua, usaha yang ditumpukan dalam kerjasama ini dijuruskan kearah satu tujuan, iaitu membantu pelajar belajar. Apakah belajar yang dimaksudkan di sini? Menurut Ramsden (1988), belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan:

Satu pergerakan kearah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar, dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dalam menyelesaikan masalah di luar kelas. Ertinya pembelajaran itu berguna bagi mentafsirkan dunia yang kita diami ini. Pembelajaran yang sebenar dapat mengubah kefahaman seseorang mengenai sesuatu.

Tafsiran di atas jelas menegaskan bahawa belajar itu bukan usaha mengembangkan minda dengan mengutip segala maklumat tanpa berfikir. Belajar menjadi bermakna apabila wujudnya perubahan dalam cara berfikir atau melihat Pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila ilmu dapat diaplikasikan hingga menimbulkan rasa puas di jiwa dan apabila dunia ini semakin difahami hingga kehidupan menjadi lebih bererti. Untuk tujuan itu, pelajar perlu dibimbing untuk berfikir dan berusaha mencari pengertian terhadap setiap perkara yang dipelajari. Daripada pengertian ini akan memungkinkan penggunaan dan pencetusan ilmu yang memberi kesejahteraan manusia sejagat.

Pendirian ini seiring dengan pandangan Pullias dan Young (1968), yang menyatakan pengajaran itu keseluruhannya merupakan cara membimbing murid untuk memperoleh sejumlah pengalaman yang cukup bermutu hingga mampu sejauh mungkin menolong pembinaan kemungkinan-kemungkinan sebagai manusia. Manusia boleh menjadi pemikir, pemaham, pembangun dan pencari penuh daya gerak jika mereka dibimbing dengan cinta dan kebenaran, bukan dengan kebencian dan tengking herdik.

Menyentuh tentang manusia dan kefahaman, Oakeshott berkata:

“Nobody is born a human being. A human being is the inhabitant of a world composed not of things, but of meaning.”

Pernyataan ini walaupun agak ekstrim tetapi itulah kenyataannya. Manusia yang hanya mempunyai jasad tetapi kosong minadnya (tidak dapat memahami apa yang ada di sekitarnya) bukanlah manusia. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di merata-rata kerana tidak faham atau sengaja tidak faham kesannya, maka mereka boleh dianggap bukan manusia. Orang yang benar-benar memahami tidak akan melakukan perkara seperti ini.

Sebagai rumusan , konsep pengajaran yang dikemukakan adalah untuk melahirkan pembelajaran yang berkualiti. Apa yang menjadi inti pati konsep ini ialah untuk membebaskan manusia daripada ikatan pandangan yang sempit dan terbatas. Ini hanya dapat dicapai jika manusia didorong untuk mencari makna, memahami dan melihat reality seperti adanya.

No comments: