Sihir

Tuesday, June 30, 2009

Kehadiran orang baru

Alhamdulillah , hari ini aku dikurniakan seorang lagi puteri. Kehadiran puteri yang ketiga ini sudah pasti menceriakan dan menambahkan kebahagiaan keluargaku. Terima kasih kepada isteriku yang tersayang!! Gembiranya aku sehingga tak boleh nak kata apa-apa.... Allahuakbar!!!

Sunday, June 28, 2009

PROJEK TANJUNG 1

Fasa 1 - Penanaman kelapa sawit



Fasa 2 - Penanaman serai

serai ini sedia untuk dituai wei..

Fasa 3 - Penanaman pisang


Fasa 4 - Penanaman ubi kayu


Fasa 5 - Penanaman keladi



Fasa 6 - Penanaman kelapa pandan

Fasa 7 - Penanaman durian D24

Fasa 7 - Tanaman lain


Ubi sayur



kolam ini banyak jasanya, menjadi sumber air terutama sekali waktu kemarau


yang ni plak tapak untuk Projek Tanjung 2, aku tak tau
nak tanam apa, tanam rumput kot, senang tumbuh!!

Saturday, June 27, 2009

Hari Kesihatan 2009

GPK sedang memberikan taklimat kepada murid-murid

Guru-guru UNISEL mengetuai senamrobik

Guru-guru wanita juga tidak melepaskan peluang untuk bersenam.


Guru lelaki yang berusaha untuk mengempiskan perut

Begitu bersemangat sekali murid-murid ini..

Cikgu Ruhamizwan sedang memberi penerangan kepada murid bagaimana
membersihkan mangkuk tandas dengan betul.

Pameran kesihatan


Ceramah kesihatan

He..he.. siapa mereka ini?




Tuesday, June 23, 2009

Keadilan untuk semua.

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya dalam kehidupan mereka. Justeru, Allah telah merangka peraturan dan undang-undang yang bersifat adil dan saksama kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit. Maka, tidak akan ada seorang pun manusia yang akan merasa dirinya dizalimi atau ditindas sekiranya hukum Allah ditegakkan di dalam masyarakat Islam. Sehubungan itu, Allah berfirman dalam surah Fatir, ayat 31 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan hamba-Nya lagi Maha Melihat dan Memerhatikan.

Keadilan adalah satu perkara yang menjadi dambaan dan impian setiap manusia yang menghuni bumi Allah ini. Keadilan di sini bukanlah bermaksud kesamarataan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini. Sebaliknya, keadilan sebenarnya beerti meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Yang lebih penting lagi keadilan merupakan antara unsur yang utama dan terpenting dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan aman damai dalam sesebuah masyarakat dan negara yang berdaulat. Apabila rakyat jelata melihat bahawa undang-undang dan hukum Allah ditegakkan dengan seadil-adilnya, mereka akan mendapati hak-hak mereka terjamin dalam meneruskan kelangsungan hidup, mengutarakan pendapat, memperolehi layanan yang adil dan seterusnya mereka pasti akan menerima apa yang sepatutnya mereka terima. Maka tidak hairanlah bahawa Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: Kekuasaan akan abadi bersama dengan keadilan dan sebaliknya akan binasa bila berlakunya kezaliman.

Sejarah Islam telah membuktikan kebenaran hal ini pada zaman Rasulullah, seorang wanita berketurunan kaya dari Bani Makhzum telah terbukti melakukan jenayah mencuri barang perhiasan. Kemudian, keluarganya dan beberapa orang pemimpin terkemuka Quraisy tersentak dengan kejadian tersebut dan mereka mula mencari jalan keluar agar wanita kaya tersebut terlepas daripada hukum Allah yang telah ditetapkan iaitu potong tangan yang wajib dilaksanakan terhadap orang-orang yang telah disabitkan bersalah dalam jenayah tersebut.

Perbuatan tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah sebagai ketua negara dan telah disabitkan kesalahannya. Maka kaumnya khuatir jika baginda akan melaksanakan hukum Allah terhadap wanita kaya tersebut yang mengakibatkan mereka menanggung malu dan rahsia mereka pula akan terbongkar juga akhirnya di khalayak ramai.

Oleh itu, kaum Bani Makhzum telah melakukan berbagai-bagai pendekatan untuk merayu melalui keluarga Rasulullah, namun ia tidak berhasil. Akhirnya mereka bersepakat untuk melobi terus kepada Rasulullah dengan menggunakan perantaraan orang tengah iaitu Usamah bin Zaid yang dianggap oleh mereka merupakan orang yang paling sesuai pada pandangan mereka dalam mengajukan permohonan pengecualian hukum Allah kepada Rasulullah. Lebih-lebih lagi, Usamah adalah putera kepada anak angkat kesayangan baginda iaitu Zaid bin Harithah.

Begitu saja mendengar permohonan Usamah yang mewakili Bani Makhzum, serta merta wajah Baginda merah padam sambil menahan perasaan marah dan terus mengecam Usamah dengan berkata: Apakah kamu hendak menolong orang-orang ini supaya aku tidak melaksanakan satu ketentuan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah? Kemudian baginda berdiri di hadapan himpunan orang ramai lalu berkata dengan suara lantang: Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya punca yang menyebabkan orang-orang yang terdahulu daripada kamu rosak binasa ialah kerana apabila ada di antara mereka seorang yang kaya dan mulia mencuri, dibiarkan sahaja (tidak dilaksanakan hukuman terhadap kesalahannya). Akan tetapi apabila yang mencuri itu seorang yang lemah iaitu rakyat jelata atau rakyat biasa yang tidak ada kedudukan dalam masyarakat, maka mereka akan melaksanakan hukuman yang sebenar-benar terhadapnya. Demi Allah! Andai kata Fatimah puteri Muhammad mencuri, sudah pasti aku akan potong tangannya terhadap kesalahannya. (Hadis riwayat al-Jama’ah)

Jelas di sini bahawa hukum Allah wajib ditegakkan pada setiap masa dan ketika tanpa mengira kedudukan, bangsa dan warna kulit. Semua manusia adalah sama di sisi hukum Allah. Orang kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat, lelaki dan wanita, orang kuat dan lemah, semuanya tunduk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Yang paling menariknya, Rasulullah sanggup mempertaruhkan nyawa puteri kesayangannya, Fatimah sebagai satu isyarat yang jelas betapa hukum Allah mesti ditegakkan dan juga mengatasi segala-galanya tanpa sebarang pengecualian terhadap para pemimpin, golongan bangsawan, orang kaya, malah sesiapa pun juga.

Ketegasan yang diperlihatkan oleh Rasulullah dalam menjulang hukum Allah ini menyingkap beberapa hikmah dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan bersama oleh umat Islam kini. Kesemua ini tidak lain tidak bukan menggambarkan betapa Rasulullah amat berpegang teguh dengan ajaran Islam dan memiliki prinsip yang mantap dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Allah ini. Antara hikmah yang terselit melalui kisah yang lalu ialah hukum Allah wajib ditegakkan di dalam setiap sendi masyarakat Islam agar roda kehidupan bermasyarakat dan juga bernegara berada di atas landasan yang benar dan lurus. Tambahan pula Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia dalam kehidupan sejagat. Oleh itu, tidak sewajarnya timbul sebarang perasaan keraguan atau syak wasangka terhadap hukum Allah sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Hikmah yang seterusnya ialah sebenarnya tidak ada tawar menawar atau pengecualian dalam menegakkan hukum Allah. Kita dapat melihat bagaimana melentingnya Rasulullah terhadap Usamah yang cuba memohon syafa’at terhadap wanita kaya yang telah disabitkan jenayahnya. Ini menunjukkan hukum Allah ini bersifat supremasi dan tidak mengenal bulu dan warna kulit. Semua manusia tidak terlepas daripada hukum Allah jika disabitkan kesalahan jenayah masing-masing.

Selanjutnya, perlaksanaan hukum Allah ini lebih menjurus kepada menjamin keadilan yang didasarkan di atas asas persamaan semua manusia di hadapan hukum Allah. Akhirnya, tertegaknya hukum Allah pastinya akan mendatangkan kemaslahatan, keamanan, keharmonian dan kesejahteraan di dalam masyarakat sehingga mereka bisa mengorak langkah dan menyusun strategi dengan penuh yakin serta bersemangat waja dalam menuju kehidupan yang diimpikan. Kegagalan dalam penegakan hukum Allah bermakna masyarakat telah menempah kerugian dan hanya menanti masa dan ketika sahaja untuk menuju ke saat kehancuran dan kebinasaan. Pendek kata, survival ummah amat bergantung kepada penegakan hukum Allah dan juga neraca keadilan dalam sesebuah masyarakat.

Jika ditinjau di dalam al-Quran, terdapat rangkaian ayat suci yang menyeru kepada penegakan hukum Allah dan juga keadilan kepada semua manusia, termasuk juga terhadap kedua orang tua sendiri dan kaum kerabat. Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 135 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutar-belitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Jelas dari mafhum ayat suci bahawa Allah memberi amaran kepada umat manusia daripada terikutkan turutan hawa nafsu yang sentiasa menggoda ke arah kebinasaan. Ahli sejarah Barat terkenal, Gibson dalam bukunya The Dicline and the Fall of Roman Empire ada menyatakan bahawa keruntuhan kuasa besar Romawi adalah berpunca daripada ketidakmampuan para pemimpin dan rakyatnya dalam mengendali dan mengawal hawa nafsu. Justeru, mereka begitu mudah terjebak dalam perangkap kepentingan peribadi, kronisme, rasuah dan lan-lain lagi jenayah yang terkutuk. Undang-undang negara dikesampingkan dan keadilan tidak lagi menjadi agenda utama negara. Akibatnya, Empayar Romawi hancur binasa hanya kerana turutkan hawa nafsu yang bergelora.

Kesimpulannya, kisah silam sewajarnya dihayati dan diteladani dalam usaha umat Islam untuk mengembalikan martabat mereka sebagai umat yang terbaik. Untuk itu, hukum al-Quran dan hadis Rasulullah sewajibnya dirujuk kembali dan diletakkan di tempat yang selayaknya sebagai tonggak terpenting yang mendasari kehidupan umat Islam. Masyarakat yang sejahtera di bawah bayangan keredaan Ilahi adalah kerana mereka amat berpegang teguh pada ajaran Islam yang berpaksikan penegakan hukum Allah dan terlaksananya keadilan.

Monday, June 22, 2009

Erti Persahabatan

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa.Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Renungilah... terima kasih padamu sahabatku..maafkanlah diriku kerana selalu silap tafsir terhadap dirimu..

Sunday, June 21, 2009

Kenapa Terlalu Sukar Memahami PPSMI

Oleh: Dr Amirulhakimi Nordin

Sukar difahami kenapa selepas enam tahun dan selepas Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI menampakkan kejayaan baru timbul suara-suara membantah PPSMI. Kebanyakan mereka yang membantah ini pula adalah cendekiawan Melayu yang sepatutnya sama-sama membantu menjayakan falsafah PPSMI.
Kononnya mereka yang membantah ini bimbang PPSMI akan melenyapkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Adakah hanya kerana dua subjek diajar dalam bahasa Inggeris maka ia boleh melenyapkan bahasa Melayu?
Juga bolehkah ia menyebabkan orang Melayu tidak menghormati bahasanya dan akhirnya tidak menghormati atau mendaulatkan bahasa sendiri?
Mereka juga bimbang anak-anak Melayu akan ketinggalan kerana penguasaan bahasa Inggeris yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti PPSMI dengan baik. Rajin usaha tangga kejayaan.
Golongan-golongan ini melemparkan pelbagai persoalan untuk mengelirukan pemikiran. Berikut adalah jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan yang lazim dilemparkan berhubung PPSMI.

1. Apakah matlamat PPSMI?
Matlamat dan objektif utama : Supaya pelajar-pelajar dapat menguasai subjek sains dan matematik dalam ertikata yang sebenar.
Matlamat secara tidak langsung : Dapat meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang teknikal.

2. Kenapa perlu kuasai sains dan matematik?
Kerana sains dan matematik adalah subjek asas kepada bidang sains, teknologi, maklumat, kejuruteraan. Pemahaman sains dan matematik akan memudahkan pelajar menguasai bidang-bidang sains dan kejuruteraan di peringkat tinggi (universiti).

3. Kenapa mesti bahasa Inggeris?
Kerana 100% bahan rujukan untuk bindang-bidang sains dan teknologi adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, dengan memahami sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dari awal lagi, ia akan memudahkan pemahaman kepada konsep dan fundamentals dalam bahan-bahan rujukan ini.

4. Kenapa tak boleh gunakan Bahasa Malaysia (BM) dalam subjek sains dan matematik?
BM sudah digunakan sekian lama. Malah sehingga kini BM masih digunakan dalam kedua-dua subjek ini (walaupun secara dwi-bahasa). Masalah yang berlaku adalah semasa di peringkat tinggi (universiti), oleh kerana bahan rujukan adalah dalam BI, menyukarkan pelajar utk memahami konsep dan teori asas.
Ia memerlukan masa untuk pelajar tersebut memahamkan terma-terma tertentu... Ini boleh menjejaskan pemahaman keseluruhan yang membawa kegagalan dalam menguasai konsep bidang yang diceburi. Akhirnya pelajar tadi hanya akan belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan dan semata-mata untuk segulung ijazah dan bukannya untuk menguasai ilmu.

5. Kenapa perlu kuasai sains dan tekonologi?
Sehingga kini, umat Islam yang merupakan umat terbesar di dunia hanyalah umat pengguna. Kita hanya menjadi pengguna. Kita tidak menjadi pencipta. Yang menjadi pencipta adalah bangsa lain dan agama lain. Maka kita amat bergantung kepada bangsa barat dan yahudi dalam segala-galanya.
Ini menjadikan kita begitu lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Malah untuk memboikot barangan US pun kita tidak mampu kerana kita tiada alternatif lain selain daripada bergantung kepada barangan mereka.
Sehingga kini, kita hanyalah bangsa dan umat pengguna. Kita hanya mampu merintih, meratap dan menangis di atas kekejaman yang dibuat oleh org barat dan yahudi terhadap Islam. Kita hanya boleh merayu meminta belas kasihan mereka. Lebih-lebih pun kita hanya mampu berkata "...mereka ini kejam ", "jagnan buat begitu ", "...tolong hentikan serangan", "...mereka ini tak berperikemanusiaan lah"... dan pelabagai kata-kata lain.
Kenapa? kerana kita bukan bangsa atau umat yang dihormati di atas kejayaan kita menguasai teknologi. Kita adala umat pengguna.
Untuk menjadi pencipta, kita perlu kuasai sains dan tekonologi. Bukan sahaja lulus dalam ujian...tetapi perlu kuasa ilmu tersebut. Apabila kita (umat islam) menjadi pencipta, maka bangsa barat dan yahudi tidak akan berani menindas dan menghina umat Islam. Kejadian di Palestine juga tidak akan berlaku sekiranya kita adalah umat pencipta dan pengeluar teknologi.

6. Kenapa Jepun, Perancis, German boleh berjaya dgn bahasa mereka? Kenapa mereka tak perlu PPSMI untuk berjaya?
Negara-negara di atas adalah juga negara-negara yang menjadi pelopor kepada tekonologi. Mereka telah meneroka bidang sains dan teknologi berpuluh-puluh tahun dahulu malah semenjak sebelum revolusi teknologi.
Jepun misalnya, telah meneroka bidang sains dan teknologi sebelum perang dunia lagi. Mereka juga pergi ke barat untuk belajar dan pulang dan membuat penterjemahan ke bahasa mereka dan terus membuat kajian sendiri.
Sebagai contoh, semasa penemuan teknologi transistor oleh Bell Labs, beberapa engineer dari Jepun (Sony) telah mendapatkan (membeli) transistor itu dari Bell Labs dan membuat kajian sendiri untuk mengubah material yang digunakan. Ianya membawa kepada beberapa revision terhadap material yang digunakan.
Penterjemahan yang dibuat oleh mereka adalah pada ketika revolusi teknologi belum berlaku lagi. Usaha-usaha dan kajian yang mereka lakukan telah bermula sejak berzaman-zaman dan seiring dengan perkembangan teknologi.
Di mana Malaysia ketika itu? Malaysia masih belum wujud lagi.
Malaysia kini berada pada zaman teknologi telah melampaui zaman revolusi...malah bergerak lebih pantas dari yang dijangka. Kita berada di belakang teknologi yang mana bahasanya dikuasai oleh bahasa asing.

7. Kenapa kita tidak buat penterjemahan ke BM sahaja?
Proses penterjemahan sekiranya hendak dilakukan sekarang, memerlukan banyak sumber kewangan, kakitangan, masa dan prasarana lain yang mana kelihatan agak mustahil. Ini kerana perkembangan sains dan teknologi pada zaman ini amat pantas. Ianya bergerak setiap saat. Setiap saat, ada sahaja penemuan teori-terori yang baru.
Seperti jawapan no. 6, negara-negara sepert Jepun dan lain-lain telah mula mengkaji dan membuat penterjemahan semasa perkembangan teknologi bergerak perlahan (sebelum zaman revolusi lagi).
Sebagai contoh, untuk memahami konsep asas transistor yang berasaskan silicon, kita perlu memahami konsep fizik silicon transistor tersebut.
Oleh itu, sekiranya hendak membuat penterjemahan, kita perlu menterjemah buku-buku konsep asas fizik dalam semiconductor yang mempunyai pelbagai konsep yang kompleks. Perkataan-perkataan baru dalam BM perlu diwujudkan. Kesemuanya ini memakan masa dan masa yang menjadi penghalang kepada kita.
Ini kerana, apabila kita membuat penterjemahan asas fizik untuk silicon based semiconductor ini, orang-orang barat dan penyelidik lain telah pun mencari alternatif kepada silicon. Ini kerana saiz untuk silicon based transistor telah hampir ke saiz atom dan ianya tidak lagi boleh bergerak ke hadapan. Maka wujudlah teori-teori baru seperti RNA, DNA dan CNT (carbon nano-tube) based transistor.
Di mana kita? Kita masih lagi membuat penterjemahan asas fizik untuk silicon based semiconductor. Selepas kita siap penterjemahan... pihak barat telah pergi jauh di hadapan dengan teknologi yang baru. Kita pula perlu membuat penterjemahan untuk tekonologi yang baru ini. Ini hanyalah mengenai satu konsep yang kecil dalam bidang kejuruteraan elektronik.
Bagaimana dengan bidang-bidang lain, konsep-konsep yang lain?
Maka, kita akan sentiasa berada di belakang teknologi...kerana kita sibuk dengan penterjemahan. Kalau kita berada di belakang tekonologi, bagaimana kita mahu mencipta tekonologi yang baru? Dan kita akan sentiasa menjadi bangsa pengguna.

8. Tidak sukarkah bagi kanak-kanak kecil untuk belajar sains dan matematik dalam BI?
Sebenarnya, kanak-kanak kecil akan mudah memahami dan mudah mengadaptasi pembelajaran mereka. Sebab itu ianya penting untuk bermula semasa mereka masih kecil. Kanak-kanak kecil bermula sejak dari darjah satu, sekiranya didedahkan dengan subjek sains dan matematik dalam BI, akan mudah memahaminya walaupun mereka tidak pandai berbahasa inggeris dan tidak pernah menggunakan bahasa inggeris.
Anak-anak kecil yg berumur 6 tahun berbangsa Melayu yang mengikuti keluarga ke United Kingdom terbukti boleh berjaya memahami sains dan matematik dalam BI. Anak-anak kecil ini berumur 6 tahun. Mereka tidak pernah berbahasa Inggeris. Ibu bapa mereka juga tidak pernah menggunakan bahasa inggeris di rumah. Tetapi, mereka masuk ke darjah satu di sekolah-sekolah di UK, belajar sains dan matematik dalam BI dan mereka boleh menjadi pelajar cemerlang dalam kelas masing-masing.
Mereka berada dalam satu kumpulan bersama pelajar yang cemerlang dan sering memperolehi 'reward’ di atas kecemerlangan mereka. Mereka membuktikan bahawa, walaupun tidak didedahkan dengan bahasa Inggeris dan tidak tahu berbahasa inggeris... mereka boleh menguasai dan berjaya. Kenapa? kerana kanak-kanak kecil mudah untuk menerima dan memahami apa yang diajar kepada mereka.

9. Tidak bolehkah BM menjadi bahasa sains dan teknologi?
Boleh. BM boleh menjadi bahasa sains dan teknologi apabila kita sudah menguasai teknologi tersebut. Apabila kita telah faham dan kuasai sesuatu bidang teknologi, maka kita mampu menjadi pencipta dan penghasil teknologi yang baru. Kita akan berada di hadapan teknologi. Pada masa itu, kita pula menggunakan BM dalam teknologi-teknologi baru yang kita hasillkan.
Maka, pada ketika itu, bangsa-bangsa lain, bangsa barat dan yahudi perlu mempelajari BM untuk menguasai dan mempelajari teknologi yang kita hasilkan. Hasilnya, BM akan menjadi bahasa teknologi, akan menjadi bahasa yang universal dan terkenal di seluruh dunia.
Yang penting, kita perlu kuasai teknologi yang telah dihasilkan dahulu yang kini dikuasai oleh bahasa Inggeris.

10. Bolehkah dasar ini mencapai matlamatnya?
Boleh. Sekiranya semua pihak berusaha sedaya upaya dalam memastikan kejayaan dasar ini. Semua pihak perlu berganding bahu menjayakannya.
Semua pihak perlu membuang sikap prejudis, membuang kacamata politik dalam melihat dan memahami dasar ini. Apabila sikap prejudis di ubah, maka kita akan akui matlamat dan objektif dasar ini yang murni. Kita perlu bekerja keras.
Segala usaha, perancangan, prasarana perlu diperhebatkan agar matlamat dan objektif yang murni ini tercapai. Semua kita bertanggungjawab dalam memastikan satu hari nanti, bangsa kita, agama islam bakal menjadi pencipta, pengeluar dan rujukan bangsa-bangsa lain di dunia. InsyaAllah.

Koleksi Undang-undang Seluruh Dunia

-SWISS :
* Dilarang berkebun di hari minggu.
-SWEDIA :
* Dilarang mengecat rumah tanpa izin dari kerajaan dan harus menggunakan cat yang sudah mendapat sertifikasi dari mereka.
-KOREA SELATAN :
* polis wajib melaporkan jumlah wang rasuah yang mereka terima dari para pemandu yang ditahan.
-SINGAPURA :
* Dilarang berjalan (bogel)
* Tidak flusk jamban setelah buang air di toilet, dikenakan denda.
-UNITED KINGDOM :
* Dilarang menjual sayuran di hari minggu .
* Wanita dilarang makan coklat di tempat umum.
-MEXICO :
* Wanita yang bekerja dilarang mengenakan pakaian seksi yang dapat “memprovokasi” rakan kerja selama jam kerja.
* Dilarang memaki di tempat umum.
-AUSTRALIA :
* Dilarang mengangkat telepon pada deringan pertama.
* Dilarang mengenakan spenda Hot Pink di hari minggu.
-YUNANI :
* Dilarang mengenakan topi di stadium , kerana dapat mengganggu pandangan orang lain.
-KANADA :
* Dilarang menempel plester luka di tempat umum.
* Dilarang menyirami tananam di kebun waktu sedang hujan.
* Dilarang memanjat pokok.
-PERANCIS :
* Dilarang berciuman di keretapi bawah tanah.
-ISRAEL :
* Dilarang memelihara babi di Israel . Orang yang melakukannya akan ditembak mati.
-AMERIKA :-- ARIZONA :
* Dilarang memandu tanpa kasut.
* Dilarang bermain domino di hari Minggu.
* Dilarang memakai kumis palsu di gereja.
* Hukuman mati dikena bagi sesiapapun yang menaburkan garam di atas rel kereta api.
* Dilarang memandu dengan mata tertutup.
- ALASKA :
* Dilarang mengambil gambar beruang yang sedang tidur.
* Dilarang memberi minum bir pada rusa.
* Dilarang berjalan-jalan sambil membawa busur dan anak panah.
-ARKANSAS :
* suami diizinkan memukul isterinya, tapi tidak boleh lebih dari 1 kali sebulan.
* Dilarang memelihara buaya di dalam bathtub.
* wanita yang saling menggoda di tepi jalan, akan dikenakan 30 hari penjara.
* Dilarang membawa lembu berjalan-jalan di jalan utama di hari Minggu.
- CALIFORNIA :
* Binatang peliharaan dilarang dibiarkan berhubungan seks di sekitar lokasi sekolah, taman, dan tempat ibadah.
- COLORADO :
* Dilarang berdebat dengan polis, kecuali kenderaan Anda ditahan olehnya.
- CONNECTICUT
* Dilarang mencium istrinya di hari Minggu.
- FLORIDA :
* Dilarang bernyanyi di depan umum sambil mengenakan pakaian renang.
* Dilarang kentut di tempat umum setelah pukul 6 .
* Dilarang memecahkan piring dan gelas lebih dari 3 buah sehari.
- WASHINGTON :
* Dilarang menyusui anak di tempat awam.
MALAYSIA
* Motosikal wajib memasang lampu pada waktu siang

Thursday, June 18, 2009

Apa itu BMI ?

Pemakanan seimbang dan sihat adalah penting untuk tumbesaran setiap individu. Diet yang tidak menentu boleh mengakibatkan banyak penyakit berbahaya seperti diabetes,anoreksia, bulimia, obesity dan sebagainya.
Tahukah anda apa itu Body Mass Index Body Mass Index adalah indeks jisim badan(is it?). Kenapa BMI itu perlu? BMI perlu supaya kita tahu adakah kita mengambil makanan secara bersesuaian atau sebaliknya. Body Mass Index boleh dikira dengan formula berikut:

- your weight in kg divide by (your height in meter multiply your height in meter)
- kg / (m x m).

BMI Classification:

18.5 or less - underweight
18.5 to 24.99 - normal
25 to 29.99 - overweight
30 to 34.99 - obesity (class 1)
35 to 39.99 - obesity (class 2)
40 and above - morbid obesity

Jika anda berada dalam keadaan underweight atau obesity, maka anda harus mula memikirkan diet anda. Biasanya berat badan dipengaruhi oleh pengambilan kalori. Jadi apakah jumlah yang sesuai dengan anda?

Friday, June 12, 2009

Kerajaan Selangor bela ibu tunggal dengan projek cendawan



PUCHONG, 12 Jun (Hrkh) - Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terhadap nasib ibu tunggal direalisasikan dengan mewujudkan projek penanaman cendawan dalam satu program yang dikenali sebagai satu kampung satu produk.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan ekonomi desa terutamanya meningkatkan pendapatan golongan ibu tunggal yang hilang punca pendapatan selain daripada terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Yaakop Sapari, Kerajaan Negeri kena bantu golongan ibu tunggal. Oleh sebab itu, satu sistem dibangunkan untuk membantu sekali gus dapat keluar dari lingkaran kemiskinan.

"Program ini merupakan program kerajaan negeri, di mana pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menyediakan sedikit dana untuk menjayakan projek ini dan menepati sasarannya," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek pembangunan produk cendawan bagi program satu kampung satu produk di Kampung Sri Aman, dekat sini semalam. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik itu, satu set khemah bersaiz 20' X 11' dengan 5,000 bongkah cendawan berharga RM15,000 dan kerajaan negeri tidak bagi hasil dalam bentuk tunai tetapi bagi dalam bentuk teknologi dan bimbingan. Dengan cara itu katanya, adalah lebih praktikal untuk membolehkan golongan susah di Kampung ini dapat dibantu. Lepas ini, Kerajaan negeri akan teruskan lagi, kalau ada rakyat yang susah akan dibantu.
Tambah beliau, di samping tempat ini, kampung ini juga ada pengusaha-pengusaha cendawan yang lain dan tempat ini dipilih kerana sudah mempunyai tempat latihan cara penanaman cendawan. "Ini merupakan tempat yang pertama diadakan projek seperti ini. Selain itu, projek yang sama telah dilakukan di Hulu Langat, Tanjung Karang dan Hulu Yam dan ini bergantung di mana pakar penanaman cendawan berada," katanya.

Beliau sebagai exco yang bertanggunjawab berharap agar Negeri Selangor akan menjadi pengeluar cendawan untuk pasaran tempatan. - mns_

Wednesday, June 3, 2009

AMANAH MENJANA KEMURNIAN AKHLAK ISLAM

Tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan kepada penerapan nilai akhlak mulia iaitu amanah. Setiap umat islam dianjurkan supaya beramanah,kerana insan yang cemerlang ialah yang paling baik menjaga dan melaksanakan amanah.

Sifat amanah adalah sangat dituntut dalam Islam. Amanah ialah sifat yang tidak memungkiri. Ia juga menunjukkan kejujuran dan sikap tidak menyimpang daripada arahan atau amanat yang diterima. Seseorang yang amanah ialah yang dapat menjalankan tugas tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Disamping itu, tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan terbaik walaupun tanpa ketua disisinya.Untuk memastkan pelaksanaan tugas tersebut. Seseorang itu diwakilkan oleh ketuanya untuk menerajui jabatan atau agensi semasa berada diluar pejabat dalam waktu yang panjang dan orang yang berkenaan mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang biasanya tidak diluluskan oleh ketuanya, maka orang tersebut telah berlaku tidak amanah.

Firman Allah s.w.t :
"Sesungguhnya kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah ini kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya). Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakkan manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka pula berbuat perkara-perkara yang tidak patut dilakukan".
(Al-Ahzab ayat 72)

Amanah ialah satu nilai yang dapat dilihat melalui tindakan, seperti menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, membelanjakan harta awam mengikut peraturan yang ditentukan dan jauh sekali daripada melakukan pembaziran, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Tegasnya sifat amanah adalah merupakan satu daripada faktor penting dalam membantu kejayaan seseorang untuk mengejar kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat. Kejayaan dalam melaksanakan amanah didunia akan membawa kebaikan hidup diakhirat. Maka sebab itu Islam sangat mengambil berat mengenai amanah dikalangan umatnya.

Sesuatu pentadbiran kerajaan tidak boleh diuruskan jika tidak ada amanah, pengurusan dan pentadbiran tidak akan dapat dilaksanakan, malah boleh menyebabkan haru-biru dan keruntuhan kuasa kerajaan. Contohnya, jika pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk menutip hasil mahsul negara tidak beramanah, sudah tentu khazanah negara akan susut. Ini bermakna pemerintah (kerajaan) tidak dapat memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membiayai urusan pentadbiran dan projek-projek pembangunan insan dan negara.
Dari segi amanah dalam perniagaan pula, pekerjaan yang tidak amanah dalam menjaga harta benda dan kewangan majikannya lambat laun boleh menyebabkan perniagaan itu muflis dan dengan ramai pekerjaan dan peniaga sesebuah negara tidak beramanah dalam urusan dengan pedagang lain, maka dagangan dalam dan luar negara tidak akan berjalan dengan baik dan berkembang. Dengan itu ekonomi negara tidak akan tumbuh.

Sifat amanah yang menjadi salah satu daripada sifat yang wajib bagi rasul kita junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w bermaksud, kepercayaan, boleh dipercayai, jujur atau orang yang boleh dipercayai. Maksudnya seseorang itu boleh melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa melakukan sebarang unsur-unsur penyelewengan.
Pri-perlunya amanah kepada umat Islam bolehlah diperhatikan kepada maksud hadis berikut, dari Ali r.a katanya, kami duduk bersama rasulullah s.a.w , lalu muncul seorang daripada keluarga al-aliyah dan bertanya kepada rasulullah : wahai rasulullah !, beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang palling berat dalam agama dan apakah yang ringan?. Maka jawab rasulullah s.a.w: yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah shahadat,dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah. Sembahyang baginya dan tiada zakat.
(Riwayat al-bazar at-tabrani)
Hadis tersebut menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab untuk melaksanakan amanah, hingga baginda menyatakan tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah. Tanggungjawab amanah itu menjadi serangkai atau bergandingan dengan agama. Seterusnya dari insan r.a katanya: rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya".
(Riwayat imam ahmad,al-bazar at-tabrani)

Kalau diperhatikan daripada kedua-dua hadis yang dibacakan tadi, tentulah dapat dibuat kesimpulan berhubung dengan keadaan yang berlaku ditengah-tengah masyarakat kita hari ini. Bagaimana dengan kedudukan orang yang terlibat dengan kes rasuah, kes pecah amanah yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit sebagaimana yang dipaparkan oleh media cetak, dituntut dan didengar melalui media elektronik. Tidakkah menunjukkan mereka tidak amanah, sedangkan amanah itu sendiri sangat dituntut dalam ajaran Islam?. Di samping itu, marilah kita perhatikan pula kepada insiden-insiden tidak amanah yang dalam masyarakat kita, apakah tindak-tanduk kepada mereka yang diamanahkan kuasa benar-benar melaksanakan amanahnya dengan penuh tanggungjawab?.

Ingatlah!, orang-orang yang telah melakukan perbuatan khianat atau tidak amanah akan diisyaratkan di hadapan semua makhluk pada hari pembalasan, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a dari nabi s.a.w sabdanya yang bermaksud : setelah Allah mengumpulkan semua makhluk dari awal hingga akhirnya, akan dikibarkan bendera hati setiap pengkhianat lalu dikatakan : inilah pengkhianatan sipulan bin sipulan.
(Riwayat muslim)

Justeru, mahukah kita kalau dihari pembalasan nanti diisyaratkan sebagai pengkhianat sebagaimana yang disebutkan dalam maksud hadis tadi? atau kita bersedia untuk menghindarkan diri daripada terjerumus kedalam golongan yang dimaksudkan itu? Bagi menghindarkan diri seseorang daripada diisyaratkan sedemikian rupa di hari pembalasan kelak, maka tunaikanlah apa yang diamanahkan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum dan syariat serta janganlah mengkhianatinya. Lihatlah pada firman Allah:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat".
(An-Nisa' ayat 58)

Setiap umat Islam dianjurkan berpegang teguh dengan kemuliaan sifat amanah hinggakan terhadap orang yang mengkhianatinya sekalipun, kita dinasihatkan supaya tidak bertindak balas dengan cara khianat. Tegasnya sifat amanah adalah menjadi tunggak kepada kemuliaan akhlak umat Islam.

Setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya merupakan amanah. Ikhlas dalam ibadat kepada Allah adalah amanah. Membuat ikhsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah amanah. Memberikan hak kepada yang berhak adalah amanah. Demikianlah luasnya pengertian amanah yang perlu kita tunaikan.

Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab melaksanakan amanah umpamanya sebagai kakitangan awam atau swasta mempunyai tanggungjawab terhadap kerja-kerjanya, bertanggungjawab terhadap ketua, majikan, malah harta benda dan segala peralatan di tempat kita bekerja. Begitu jugalah sebagai suami mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap isterinya malah sebagai ketua dalam keluarga tersebut, sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang berat untuk melaksanakan amanah terhadap isteri-isteri, anak-anak, ahli-ahli dibawah peliharaan dan jagaan kita.

Demikian juga bagi seorang isteri ada tanggungjawab berat terhadap suami dan mengekalkan hubungan akrab dengan ibu bapa dan keluarga suami. Apabila telah menjadi ibu, tanggungjawabnya pula semakin bertambah untuk melaksanakan amanah Allah yang telah mengurniakan anak kepadanya.

Jelaslah bahawa amanah merupakan tanggungjawab besar yang mesti dipelihara, samada berbentuk fizikal atau kebendaan seperti barangan, wang dan sebagainya atau moral seperti bekerja dengan amanah juga menuntut pelaksanaan kerja yang cekap, layanan yang ramah dan mesra, menepati masa dan janji ditunaikan.

Sifat amanah yang menampilkan kemuliaan akhlak serta kesempurnaan peribadi seseorang. Dari Ubadat bin As-Samir meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Berikanlah padaku enam jaminan dari diri kamu, aku menjamin syurga untuk kamu:
Pertama : Benar bila berkata
Kedua : Menepati janji
Ketiga : Menunaikan amanah
Keempat : Pejamkanlah mata kamu daripada yang ditegah
Kelima : Peliharalah faraj (kemaluan) kamu
Keenam : Tahanlah tangan kamu
(Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Justeru , bagi sesiapa yang ada tanggungjawab melaksanakan tuntutan terhadap amanah, maka tunaikanlah amanah itu dengan adil dan sempurna kepada yang berhak. Sekiranya tidak dapat dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, balasan yang menanti di akhirat kelak amatlah pedih. Sebaliknya jika dapat dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas, ganjaran yang menanti kelak sangatlah besar. Firman Allah s.w.t :
"Wahai orang-orang yang beriman !, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".