Sihir

Thursday, November 19, 2009

Kerajaan Negeri Ulangi Pendirian Tidak Iktiraf Ketua Kampung Pusat



Isnin, 14 Julai 2008 Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 14 Julai – Kerajaan negeri mengulangi pendirian tidak akan mengiktiraf ketua kampung yang dilantik kerajaan pusat menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah jelas di bawah struktur rasmi negeri dan tindakan kerajaan pusat itu hanya memecah-belahkan masyarakat.

“Kerajaan negeri tidak bersetuju ada dua jawatankuasa, yang itu (lantikan persekutuan) kita anggap sebagai JKKKP haram,” katanya di sini hari ini.

Jelas Yaakob, segala urusan yang membabitkan JKKKP dengan kerajaan negeri dianggap tidak sah.

“Semua cop JKKKP tidak laku di kerajaan negeri,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, JKKKP juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan negeri kerana ia bukan satu organisasi berdaftar.

Menurut Yaakob, tindakan mewujudkan dua jawatankuasa di peringkat kampung hanya menyebabkan masyarakat berpecah belah.

Katanya, JKKKP terdiri daripada kalangan ketua cawangan Umno sebaliknya pelantikan JKKK dibuat melalui temuduga yang dijalankan.

“JKKK terbuka…ada penyokong parti dan ada yang bukan penyokong parti, badan bukan kerajaan (NGO) ada dan yang tak ada jawatan dalam parti pun tak apa,” katanya.

Justeru Yaakob menasihatkan penduduk kampung hanya merujuk kepada JKKK yang dilantik kerajaan negeri dan bukannya JKKKP yang tidak diiktiraf. – NOOR ALLIA KASSIM

No comments: