Sihir

Tuesday, April 21, 2009

321 belia perintis latihan kemahiran bergaji minimum RM2,000

KUALA SELANGOR, Sabtu 3 Mei : Seramai 321 belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok bakal menjadi perintis kepada program latihan kemahiran khas dengan diberi jaminan gaji minimum RM2,000 selepas dua tahun bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata dalam kursus itu, belia terbabit akan disaring bagi menentukan jenis latihan berdasarkan minat serta kemahiran masing-masing.

“Mereka daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk lulusan universiti serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masih menganggur,” ujarnya.

Menurut beliau. Kesemua 321 belia termasuk wanita akan memulakan kursus motivasi selama seminggu di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 13 Mei ini.

Selepas saringan itu katanya, belia terpilih akan dihantar menjalani latihan kemahiran di dua institusi iaitu di Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IYKS) dan Kolej Antarabangsa Inpens.

Dr Halimah berkata, kumpulan itu adalah yang pertama terpilih mengikuti program khas anjuran kerajaan negeri. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil IKYS ketujuh di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memberi jaminan bahawa setiap belia di negeri itu bakal menerima gaji minimum RM2,000 selepas dua tahun bekerja melalui modul khas tersebut.

Belia yang berjaya menamatkan latihan tetapi masih mendapat gaji kurang daripada RM2,000 selepas tempoh dua tahun akan dipanggil balik untuk diberikan kursus lanjutan.

Bagaimanapun, menurut Dr. Halimah, lulusan universiti tidak perlu mengikuti latihan kemahiran sebaliknya akan diserap terus ke syarikat swasta atau agensi kerajaan bagi menjalani latihan praktikal selama enam bulan.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Selangor, Takril Tasuki dan Presiden Kolej Antarabangsa Inpens, Datuk Mohd. Mydin Mohd. Sherrif.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah & terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor!